Politik

Kerjasama Bukan Bererti Hilang Identiti

Kongsi
Kerjasama Bukan Bererti Hilang Identiti

Foto: UMNO Online

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) terbuka membincangkan persefahaman politik yang mampu menawarkan kestabilan kefpada rakyat tanpa mengorbankan identiti dan prinsip parti.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, politik matang membolehkan parti-parti mencari titik temu serta mengelakkan pertembungan yang hanya memecahkan undi.

“Persefahaman bukan penyerahan dan kerjasama bukan penghapusan prinsip. UMNO kekal UMNO, PAS kekal PAS dan setiap parti kekal dengan prinsip serta pendiriannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada BN Forum Ke-11 bertajuk Pasca PRN Johor dan Negeri Sembilan: Dinamika Baharu Politik Malaysia? di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, malam tadi.

Menurut Ahmad Zahid, kerjasama politik juga tidak boleh dibina semata-mata atas kebencian terhadap pihak lain.

“Musuh yang sama mungkin menemukan kita untuk sementara waktu, tetapi hanya tujuan yang sama mampu mempertahankan sebuah kerjasama untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan konsep ‘politik dua tingkat’, iaitu kerjasama untuk membentuk dan mengurus kerajaan tidak semestinya sama dengan kerjasama ketika menghadapi pilihan raya.

Katanya, kematangan politik terletak pada kebijaksanaan menentukan waktu untuk bersaing atau bekerjasama dengan kepentingan negara terus menjadi keutamaan.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.