KUALA LUMPUR: Puteri UMNO Pahang menggesa isu kesihatan mental, tekanan emosi dan buli dalam kalangan murid ditangani sebagai agenda utama pendidikan negara, bukan sekadar diberi perhatian selepas sesuatu tragedi menjadi tular.
Wakilnya, Saidatun Nur Mohd Rusly berkata, sistem pendidikan perlu bergerak daripada pendekatan reaktif kepada usaha pengesanan awal, perlindungan mangsa serta pemulihan yang lebih menyeluruh.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cameron Highlands berkata demikian ketika membahaskan isu kesihatan mental dalam pendidikan pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), hari ini.
Isu tersebut semakin membimbangkan apabila rekod Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan kes buli di sekolah meningkat daripada 3,883 kes pada 2022 kepada 6,528 kes pada 2023 dan 7,681 kes pada 2024.
Menurut Saidatun, buli tidak lagi berlaku melalui kekerasan fizikal semata-mata, sebaliknya turut merangkumi penghinaan, ejekan, pemulauan, ugutan, fitnah dan serangan melalui media sosial.
“Jangan tunggu sesuatu kejadian itu tular, berlaku kecederaan parah atau kehilangan nyawa, barulah kita mahu bertindak.
“Sekiranya sistem mengetahui seorang anak sedang berada dalam bahaya, sistem tidak boleh berpaling,” katanya.
Puteri UMNO Pahang mengemukakan lima syor utama, termasuk memperhebat mekanisme Mental Health Check-In di sekolah bagi mengesan perubahan emosi dan tingkah laku murid lebih awal tanpa melabel atau mendiagnosis mereka.
Selain itu, literasi kesihatan mental dicadangkan menjadi sebahagian daripada budaya sekolah, merangkumi pendidikan mengenai pengurusan tekanan, buli siber, daya tindak, kaedah mendapatkan bantuan dan sokongan rakan sebaya.
Puteri UMNO Pahang turut mencadangkan supaya kes buli ditangani sebagai isu keselamatan dan kesihatan mental, lengkap dengan saluran aduan yang selamat, perlindungan mangsa, tindakan segera, intervensi terhadap pelaku serta pelan pemulihan.
Dalam masa sama, kesejahteraan mental guru juga perlu diberi perhatian melalui sokongan psikososial, pengurangan beban tugas dan pengukuhan indeks kesejahteraan guru.
“Jika kesihatan mental seorang guru sendiri sudah berada di hujung kemampuan, bagaimana kita mahu beliau menjaga emosi puluhan murid di hadapannya setiap hari?
“Kalau kita mahu guru menjaga anak-anak kita, kita juga mesti menjaga guru-guru kita,” katanya.
Saidatun berkata, pendekatan Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar merangkap Naib Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail membuktikan pendidikan dan kesejahteraan rakyat boleh digerakkan secara bersama.
Melalui Belanjawan Pahang 2026, sebanyak RM84.59 juta diperuntukkan di bawah Inisiatif Makmur Pahang bagi membantu pelajar, mahasiswa dan keluarga.
Daripada jumlah itu, RM14.8 juta disediakan menerusi Program Tunas Makmur, RM3.64 juta bagi bantuan buku rujukan serta latihan kepada 22,678 pelajar, RM4 juta untuk bantuan makanan pelajar sekolah menengah daripada keluarga miskin tegar dan RM9 juta bagi bantuan mahasiswa.
Menurutnya, bantuan tersebut bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi pelajar dalam meneruskan pendidikan.
“Puteri UMNO mesti menjadi gerakan yang bukan sahaja pandai mendengar masalah rakyat, tetapi berani membawa penyelesaian.
“Kita bukan sekadar mahu memenangi pilihan raya. Kita mahu memenangi masa depan generasi bangsa kita,” katanya.
PAU 2026 berlangsung selama empat hari dari 9 hingga 12 September dengan persidangan penuh Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO diadakan hari ini. -JELAIPOST