FOTO: Borneo Post Online
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijangka dibubarkan pada November, selepas Belanjawan Sarawak 2027 diluluskan atau kira-kira dua minggu selepas itu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, belanjawan berkenaan akan dibentangkan pada persidangan DUN akan datang.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak dijangka menunggu sehingga DUN terbubar secara automatik pada Februari 2027 apabila mandatnya berakhir.
Abdul Karim menjelaskan, kebiasaannya ketua kerajaan negeri, termasuk Premier Sarawak, akan memohon pembubaran sebelum tamat tempoh mandat bagi memberi laluan kepada pilihan raya.
“Tarikhnya (pembubaran) mungkin pada bila-bila masa pada November untuk pembubaran,” katanya selepas menghadiri program Sarawak Women of Tomorrow (SWOT) 2026, malam Rabu.
Memetik Bernama, beliau membayangkan pembubaran boleh berlaku selepas belanjawan negeri diluluskan atau dua minggu kemudian.
Bagaimanapun, kenyataan itu merupakan jangkaan beliau mengenai tempoh pembubaran, dengan tarikh sebenar belum diumumkan.-JELAIPOST