Foto Kredit: Ezzatul Syafiqa- Pahang Media
SELANGOR, 18 Ogos 2026 — Penampilan pertama Ahmad Fahmi Adani di pentas SUKMA membuahkan hasil apabila atlet menembak Pahang itu menyumbang satu pingat emas dan satu perak, sekali gus membantu kontinjen negeri memperkukuh kedudukan dalam temasya SUKMA Selangor XXII 2026.
Memetik laporan Pahang Media, Ahmad Fahmi bergandingan dengan Muhammad Fikhri Hafiy Mohd Fazley dan Ahmad Zaffin Kushairie Mohd Azman untuk menjuarai acara 50 Meter Rifle Prone Lelaki Berpasukan dengan kutipan 1,817.7 mata.
Pahang menewaskan Perak yang meraih 1,812.3 mata serta Negeri Sembilan dengan 1,800.2 mata.
Ahmad Fahmi kemudiannya menambah pingat perak dalam acara individu selepas mencatat 607.6 mata. Atlet kelahiran Kuantan itu menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai hasil sokongan berterusan keluarga dan jurulatih sejak beliau menceburi sukan menembak pada 2023.
Dalam perkembangan sama, skuad menembak Pahang menyumbang tiga emas menerusi acara 25 Meter Rapid Fire Pistol Lelaki Individu, 50 Meter Rifle Prone Lelaki Berpasukan dan 10 Meter Air Pistol Wanita Berpasukan.
Cheah Zen Hong muncul juara acara 25 Meter Rapid Fire Pistol Lelaki Individu, manakala Damia Hani Mohamad Sakran, Siti Annisa Syakirah Mohd Jazlan dan Wan Nur Afiqah Wan Mohd Haneef mengungguli acara 10 Meter Air Pistol Wanita Berpasukan. Damia Hani turut meraih gangsa dalam acara individu.
Pahang turut memperoleh emas menerusi memanah dan olahraga, menjadikan kutipan semasa kontinjen itu sebanyak 10 emas, enam perak dan 13 gangsa.