BATU PAHAT: Tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, yang ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, petang semalam.
Memetik laporan media, ketiga-tiga pelajar itu dipercayai bersekolah di sekolah sama dengan mangsa dan ditahan beberapa jam selepas penemuan mayat remaja berusia 16 tahun berkenaan.
Seorang daripada mereka dilaporkan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi ini bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan.
Terdahulu, Irene Sofiya ditemukan di dalam dewan sekolah kira-kira jam 5.30 petang oleh neneknya bersama seorang rakan yang datang mencarinya selepas menyedari mangsa tidak pulang ke rumah.
Menurut Sinar Harian, mangsa dipercayai datang ke sekolah untuk menghadiri kelas tambahan. Rakan sekelas menyifatkannya sebagai pelajar cemerlang yang tekun belajar serta aktif dalam aktiviti sekolah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, polis masih mengumpulkan fakta dan maklumat tepat berhubung kejadian serta terlalu awal untuk mengesahkan spekulasi yang berlegar.
Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca dan motif kejadian. – JELAIPOST