KUANTAN: Pemuda UMNO Pahang menegaskan sokongan terhadap Kerajaan Negeri dalam pertikaian cukai tanah Berjaya Hills Resorts Berhad, dengan pendirian bahawa kuasa negeri dan keputusan mahkamah yang telah dibuat perlu dihormati.
Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berkata, rakyat perlu mengetahui bahawa cabaran syarikat berkenaan terhadap semakan kadar cukai tanah setakat ini telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Memetik laporan Pahang Media, beliau menegaskan sokongan itu berpandukan fakta undang-undang serta keputusan mahkamah, khususnya Alasan Penghakiman Mahkamah Rayuan bertarikh 16 Julai 2026.
Menurutnya, keputusan sebulat suara menolak kelima-lima rayuan berkaitan mengesahkan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai punca kuasa untuk menentukan dan menyemak kadar cukai tanah di bawah Kanun Tanah Negara.
Kamil berkata, persoalan mengenai kelulusan Majlis Tanah Negara (MTN) juga telah dipertimbangkan oleh Mahkamah Rayuan.
“Ringkasnya, MTN memberikan kelulusan untuk semakan dibuat, manakala Kerajaan Negeri menentukan kadar cukai tanah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau menegaskan, kedudukan tersebut perlu difahami supaya perbincangan mengenai pertikaian berkenaan tidak bersandarkan persepsi atau maklumat yang tidak lengkap.
Pemuda UMNO Pahang turut menghormati hak Berjaya Hills untuk meneruskan proses perundangan, namun menegaskan bahawa fakta undang-undang dan keputusan mahkamah setakat ini juga wajar dihormati.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan pada 16 Julai lalu menolak kesemua lima rayuan Berjaya Hills dan pihak berkaitan terhadap Pengarah Tanah dan Galian Pahang, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kesahan semakan kadar cukai tanah negeri.
Pertikaian itu turut melibatkan 122 hak milik tanah syarikat Berjaya di Bukit Tinggi, Bentong yang dilucutkan hak kepada Kerajaan Negeri susulan kegagalan menjelaskan tunggakan cukai tanah sebanyak RM70,481,097.
Menurut laporan Pahang Media pada 30 September, Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali berkata, tunggakan tersebut bermula seawal 2020, manakala pewartaan Notis 8A dilaksanakan pada Jun 2025.
UPNP kemudian menjalankan penguatkuasaan pada 28 September selepas penampalan dan penyerahan notis pada 9 dan 10 September. Antara lokasi terlibat ialah kuarters pekerja, dobi, Rabbit Park dan Japanese Garden.
Bagaimanapun, laporan sama menyatakan tindakan penguatkuasaan berkenaan tertakluk kepada arahan penangguhan yang dikeluarkan mahkamah.
Kamil menegaskan, Pemuda UMNO Pahang akan terus mempertahankan pendirian berasaskan fakta, kedaulatan undang-undang dan kepentingan rakyat Pahang.-JELAIPOST