Berita

Beberapa Amalan Di Kampung Ubai Bercanggah Syarak – Mufti Pahang

Kongsi
Beberapa Amalan Di Kampung Ubai Bercanggah Syarak – Mufti Pahang

KUANTAN: Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang memutuskan beberapa amalan yang dikaitkan dengan penduduk Kampung Ubai di Kuantan, Kampung Ubai di Pekan serta kawasan sekitarnya mempunyai unsur yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bilangan 1/2026 yang bersidang pada 27 dan 28 April lalu.

Menurut keputusan yang diterbitkan Jabatan Mufti Negeri Pahang, antara amalan yang ditegur termasuk kepercayaan tertentu ketika penyembelihan ayam sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan, menyusup di bawah keranda dengan niat tertentu serta amalan berkaitan penolakan bala.

Jawatankuasa berkenaan turut memutuskan bahawa perbuatan mengutip apa yang disebut sebagai “zakat kenderaan” tidak mempunyai asas syarak dan berpotensi membawa kepada eksploitasi kewangan.

Selain itu, amalan memaksa keluarga mengadakan tahlil dan kenduri arwah pada bilangan hari tertentu sehingga membebankan keluarga si mati turut diputuskan sebagai bercanggah dengan syariat Islam.

Pengurusan jenazah yang sengaja dilewatkan sehingga memudaratkan jenazah juga ditegaskan sebagai tidak dibenarkan.

Jawatankuasa berkenaan turut meminta mana-mana individu yang berpegang, mengajar, menyebarkan atau mengamalkan fahaman serta amalan berkenaan supaya meninggalkannya dan bertaubat.

Keputusan itu bagaimanapun merujuk kepada amalan-amalan khusus yang disenaraikan dan tidak wajar ditafsirkan sebagai melabel keseluruhan masyarakat Kampung Ubai.– JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.