Setempat

Rumah Jadi Lombong Bitcoin, Pemilik OKU Tanggung Rugi Puluhan Ribu

Kongsi
Rumah Jadi Lombong Bitcoin, Pemilik OKU Tanggung Rugi Puluhan Ribu

Sumber Foto: SINAR HARIAN

KUANTAN: Rumah disewakan dalam keadaan baharu, tetapi pemilik akhirnya terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit selepas kediamannya di Cherating dipercayai dijadikan pusat perlombongan bitcoin haram.

Lebih membimbangkan, Rabiatul Adawiyah Abdul Rahman, 35, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal, berdepan kemungkinan tuntutan Tenaga Nasional Berhad (TNB) susulan kegiatan mencuri elektrik di rumah berkenaan.

Menurut laporan Sinar Harian, wanita itu hanya mengetahui kejadian selepas jiran memaklumkan kehadiran polis dan TNB di kediamannya pada Ahad lalu.

Rabiatul Adawiyah yang pernah mengalami strok meluahkan rasa teraniaya kerana rumah yang diserahkan kepada penyewa dalam keadaan baik kini mengalami kerosakan.

“Saya bagi rumah dalam keadaan baru, semua pendawaian pun baru,” katanya.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan Rabiatul Adawiyah bersama suaminya bergegas ke lokasi selepas menerima makluman jiran.

Pasangan itu terkejut apabila diberitahu kediaman berkenaan digunakan untuk kegiatan melombong bitcoin dengan bekalan elektrik yang dicuri.

Menurutnya, pemeriksaan menemukan peralatan perlombongan bitcoin di dalam rumah sebelum diambil polis sebagai bahan bukti siasatan.

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.