ROMPIN: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah mengingatkan semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan istilah ‘Tanah Adat’ ketika memperkatakan hak tanah masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
Baginda bertitah, perkara itu perlu diperjelaskan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Orang Asli, khususnya berkaitan status dan hak terhadap sesuatu kawasan yang diduduki atau digunakan.
Menurut Baginda, istilah yang diperuntukkan secara khusus di bawah Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) ialah ‘Kawasan Orang Asli’ di bawah Seksyen 6 dan ‘Rizab Orang Asli’ di bawah Seksyen 7.
“Ia boleh diisytiharkan oleh pihak berkuasa negeri melalui pemberitahuan dalam Warta.
“Oleh itu, janganlah kita sewenang-wenangnya menggunakan istilah ‘Tanah Adat’ seolah-olah setiap kawasan yang pernah diduduki, dimasuki atau digunakan secara automatik menjadi hak,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Program Kenduri Rakyat Sempena Hari Orang Asli Tahun 2026 di Kampung Orang Asli Sungai Mok, di sini, hari ini.
Turut mengiringi Baginda ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta ketua-ketua jabatan.
Al-Sultan Abdullah bertitah, Kerajaan Negeri tidak pernah berniat menafikan hak masyarakat Orang Asli, sebaliknya hak serta kebajikan mereka perlu dihormati, dipelihara dan dilindungi berlandaskan Perlembagaan serta undang-undang.
“Namun, hak mestilah berjalan bersama undang-undang. Di bawah Akta 134, pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa untuk memberikan hak menduduki tanah tertentu dalam Kawasan Orang Asli atau Rizab Orang Asli,” titah Baginda.
Sehubungan itu, Baginda menitahkan supaya proses pengukuran, persempadanan dan pewartaan kawasan Orang Asli dipercepatkan bagi memastikan kawasan yang diperuntukkan kepada masyarakat berkenaan benar-benar terpelihara.
Baginda bertitah, penetapan sempadan yang jelas juga penting bagi mengelakkan pertindihan serta tuntutan tanpa batas.
“Sempadan yang jelas juga penting supaya kawasan yang diperuntukkan kepada Orang Asli benar-benar terpelihara dan pada masa sama mengelakkan pertindihan serta tuntutan tanpa batas,” titah Baginda.
Mengulas status tanah masyarakat Orang Asli di Pahang, Baginda memaklumkan daripada keseluruhan 264 Kampung Orang Asli (KOA) di negeri ini, sebanyak 30 KOA telah selesai diwartakan, manakala 16 KOA telah diberikan hak milik tanah.
Ini menjadikan sebanyak 46 KOA mempunyai penyelesaian status tanah, manakala 218 KOA lagi masih berbaki.
Baginda mahu baki tersebut diperhalusi dengan mengenal pasti setiap masalah serta halangan yang menyebabkan proses penyelesaian status tanah masih belum dapat diselesaikan.
“Saya mahu perkara ini diperhalusi. Jika ada masalah, nyatakan masalahnya. Jika ada halangan undang-undang, cari kaedah penyelesaiannya.
“Jangan dibiarkan Orang Asli menunggu tanpa kepastian,” titah Baginda.