Berita

Pahang Peruntuk RM235.95 Juta Perkasa Syiar Islam – Wan Rosdy

Kongsi
Pahang Peruntuk RM235.95 Juta Perkasa Syiar Islam – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang memperuntukkan RM235.95 juta bagi hal ehwal Islam tahun ini, meningkat RM33.53 juta berbanding 2025, bagi memperkukuh pendidikan agama dan kemudahan umat Islam di negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan tersebut merangkumi RM116.58 juta bagi dana operasi sekolah agama serta bantuan RM10,000 kepada setiap masjid di negeri itu.

Menurutnya, pembangunan pendidikan agama turut menunjukkan perkembangan apabila jumlah tadika tahfiz meningkat daripada hanya sebuah pada 2018 kepada 51 buah ketika ini.

Beliau berkata, usaha itu bertujuan menyediakan pendidikan agama yang lebih tersusun dan sistematik kepada anak-anak sejak peringkat awal.

“Sekarang ini ada 51 tadika tahfiz di Pahang yang sangat tersusun, silibusnya bagus dan modulnya pun telah diambil oleh Kemas untuk dijadikan modul.

“Setakat hari ini bila sudah ada tadika tahfiz ini, 51 buah, sambutannya sangat baik. Ramai ibu bapa telah menghantar anak mereka ke tadika tahfiz ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Eksklusif bersama Sinar Harian.

Wan Rosdy berkata, pendidikan berteraskan al-Quran perlu diberi perhatian bagi membentuk generasi yang bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik, malah mampu menguasai al-Quran dan mengaplikasikan ilmu agama dalam bidang profesional.

Menurutnya, pendedahan kepada pendidikan agama sejak kecil dapat membantu anak-anak mencapai kejayaan yang lebih baik apabila dewasa.

“Kita nak lahirkan satu hari nanti Perdana Menteri yang mungkin hafaz al-Quran, akauntan yang hafaz al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, hasrat sama boleh diterapkan dalam bidang profesional lain, termasuk melahirkan doktor dan peguam yang mempunyai kemampuan menghafaz al-Quran.

Dalam pembangunan kemudahan agama pula, Wan Rosdy memaklumkan sebanyak 44 masjid telah dibina sepanjang beliau menerajui pentadbiran Pahang, membabitkan kos hampir RM150 juta.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkukuh syiar Islam dilaksanakan tanpa meminggirkan masyarakat bukan Islam.

Mengulas persepsi bahawa pentadbiran Pahang bersifat sekular dan tidak Islamik, beliau berkata, rakyat boleh menilai komitmen kerajaan negeri melalui angka serta pelaksanaan yang telah dilakukan.

“Kalau cakap kosong, orang tidak percaya. Jadi kita bercakap dengan angka,” katanya.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.