KUANTAN : Kediaman dengan kos pembangunan sekitar RM300,000 seunit ditawarkan kepada rakyat pada harga RM45,000 menerusi Program Residensi Rakyat (PRR), dengan subsidi kerajaan sebanyak RM255,000 bagi setiap rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, bantuan itu membuka peluang kepada keluarga berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman sendiri.
Menurut beliau, PRR Inderapura dan PRR Pulau Manis menyediakan keseluruhan 200 unit rumah, masing-masing 100 unit, dengan kos pembangunan RM60 juta.
“RM255,000 itu merupakan subsidi atau bantuan daripada kerajaan untuk rakyat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah PRR Inderapura dan Surat Tawaran PRR Pulau Manis, pada Selasa.

Pada majlis di perkarangan PRR Inderapura itu, seramai 69 pembeli menerima kunci rumah, manakala 23 lagi menerima surat tawaran PRR Pulau Manis.
Mohammad Fakhruddin menyempurnakan penyerahan tersebut bagi mewakili Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau memaklumkan, PRR Inderapura dibangunkan di atas tanah kerajaan seluas 11.5 ekar, manakala PRR Pulau Manis melibatkan kawasan seluas 10 ekar.
Katanya, skim berkenaan memberi keutamaan kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah bagi memastikan bantuan pemilikan rumah sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Fakhruddin berkata, sistem ePerumahan Negeri Pahang merekodkan 108,000 permohonan sehingga Julai 2026, termasuk 37,800 permohonan dari daerah Kuantan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kediaman yang telah siap dibina melalui pelbagai skim perumahan negeri mempunyai nilai jualan keseluruhan sekitar RM2.28 bilion, berbanding anggaran nilai semasa RM5 bilion.
Perbezaan nilai itu, menurut beliau, menggambarkan subsidi yang disediakan kerajaan bagi membolehkan rakyat membeli rumah pada harga lebih rendah.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa rumah yang ditawarkan perlu didiami penerima yang layak dan tidak disalahgunakan untuk tujuan komersial atau disewakan semula tanpa kebenaran.
Mohammad Fakhruddin berkata, moratorium selama 10 tahun serta syarat perjanjian yang ketat dikenakan bagi mengelakkan kediaman tersebut dijadikan homestay atau disewakan kepada pihak ketiga.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) merancang menyediakan unit lot tepi dalam projek perumahan baharu untuk disewakan secara rasmi kepada pengusaha tadika swasta. Langkah itu bertujuan mengelakkan penggunaan rumah kediaman bagi aktiviti komersial tanpa kebenaran.
Mohammad Fakhruddin juga menegaskan bahawa agenda perumahan mampu milik akan terus diberi perhatian supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati kediaman yang selesa serta memiliki tempat tinggal sendiri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perumahan Negara, LPHP serta semua pihak yang terlibat menjayakan usaha tersebut.-JELAIPOST
Pendapatan rendah layak mohon tak..
Boleh hubungi LPHP
Saya ingin memohon rumah di kawasan Kuantan atau Pekan
boleh hubungi LPHP untuk sebarang pertanyaan lebih lanjut