Berita

Hasil Perikanan Pahang Tertinggi Di Pantai Timur

Kongsi
Hasil Perikanan Pahang Tertinggi Di Pantai Timur

KUANTAN: Pahang terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara negeri utama dalam sektor perikanan apabila mencatatkan pengeluaran sebanyak 148,968 tan metrik pada tahun 2025, tertinggi di Pantai Timur.

Jumlah itu meningkat berbanding 144,651.73 tan metrik yang direkodkan pada tahun 2024, berdasarkan data Jabatan Perikanan Malaysia.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu menunjukkan Pahang bukan sahaja mempunyai sumber perikanan yang besar, malah memiliki asas kukuh untuk membangunkan industri berkenaan secara lebih menyeluruh.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri tidak mahu Pahang kekal sekadar sebagai negeri yang membekalkan ikan mentah, sebaliknya mahu hasil laut negeri diproses dan diberi nilai tambah sebelum dipasarkan.

“Kita tidak mahu selama-lamanya hanya menjadi negeri yang membekalkan ikan mentah. Kita mahu hasil laut Pahang diproses di Pahang, diberikan nilai tambah dan seterusnya dipasarkan dalam bentuk produk yang lebih bernilai,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan lawatan kerja delegasi Pahang ke Vigo, Sepanyol bagi melihat lebih dekat perkembangan industri perikanan serta pemprosesan hasil laut di negara berkenaan.

Lawatan berkenaan turut memberi tumpuan kepada aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi pemprosesan, penyimpanan serta penghasilan produk makanan laut bernilai tambah.

Wan Rosdy berkata, pendekatan industri perikanan di Vigo yang merangkumi keseluruhan rantaian daripada pendaratan, pemprosesan, penyimpanan, pembungkusan hingga pemasaran dilihat relevan untuk disesuaikan dengan keperluan Pahang.

Antara produk hiliran yang berpotensi dibangunkan termasuk makanan sejuk beku, makanan sedia dimakan, produk berasaskan ikan, surimi, makanan dalam tin serta pelbagai produk makanan laut untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata, matlamat akhirnya ialah memastikan nilai ekonomi daripada hasil laut tidak terhenti di jeti atau pasar, sebaliknya terus berkembang sepanjang rantaian industri dan memberi manfaat kepada nelayan, pengusaha, usahawan serta pemain industri pemprosesan.

Pencapaian pengeluaran 148,968 tan metrik itu sekali gus memberi ruang kepada Pahang untuk bergerak daripada sekadar negeri pengeluar hasil mentah kepada hab pemprosesan dan pembangunan produk makanan laut bernilai tinggi.- JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.