BENTONG, 16 SEPTEMBER 2026 – Seramai 146 mahasiswa dari DUN Jelai menerima bantuan kewangan secara ‘one-off’ sebanyak RM400 menerusi Inisiatif Makmur (IM) Pahang Kluster Siswa Tahun 2026.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau berasa bangga dapat bertemu secara dekat dengan mahasiswa dari kawasan Jelai yang disifatkannya sebagai generasi yang bakal mencorakkan masa depan daerah itu dan Negeri Pahang.
“Melihat semangat dan impian mereka, Tokwan yakin generasi inilah yang akan membawa negeri kita lebih jauh pada masa hadapan,”
“ Inisiatif Makmur Pahang merupakan antara usaha Kerajaan Negeri dalam membantu anak Pahang dalam bidang pendidikan, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st yang menekankan supaya peluang dan manfaat pembangunan terus dirasai rakyat,” kata beliau pada majlis yang berlangsung di GEO Resort & Hotel, Genting Highlands, pada Rabu.
Beliau turut mengingatkan para mahasiswa supaya terus mengejar ilmu, membina masa depan dan menggunakan peluang pendidikan yang ada sebaik mungkin.
“Kejarlah ilmu dan bina masa depan dengan sebaiknya. Jadilah insan yang berjasa, tidak kira di mana sahaja anak-anak bekerja dan berada kelak.
“Pulanglah membawa ilmu, pengalaman dan kebaikan untuk Jelai dan Pahang yang kita cintai,” katanya lagi.
Wan Rosdy berkata, kejayaan generasi muda hari ini bukan sahaja penting untuk masa depan individu dan keluarga, malah akan menjadi kekuatan kepada pembangunan Pahang pada masa hadapan.
Ujarnya lagi, bagi Dun Jelai, bantuan kepada 146 mahasiswa itu turut memperlihatkan kesinambungan perhatian kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan dan modal insan, selain pembangunan fizikal yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Pendekatan tersebut selari dengan aspirasi pentadbiran negeri untuk memastikan pembangunan Pahang bergerak seiring antara kemajuan ekonomi, kebajikan rakyat dan pembangunan generasi masa depan.-JELAIPOST
