Foto: Facebook Kesultanan Pahang
KUANTAN: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencadangkan supaya satu skim insurans berkelompok diwujudkan bagi melindungi keseluruhan 790 unit Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) yang dibangunkan di seluruh Pahang.
Cadangan itu bertujuan memberi perlindungan tambahan kepada penerima, khususnya sekiranya kediaman mereka berdepan musibah seperti kebakaran atau kejadian tidak diingini.
Baginda bertitah, langkah berkenaan wajar dikaji supaya penghuni Ru’RASA mempunyai jaminan perlindungan yang lebih baik dan dapat mendiami kediaman mereka dengan lebih selesa.
Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya aspek kualiti pembinaan Ru’RASA tidak dikompromi meskipun rumah berkenaan dibina pada kos yang rendah.
Baginda menegaskan pembinaan tidak boleh dilakukan secara sambil lewa kerana rumah itu merupakan tempat berlindung dan menjadi “syurga” bagi setiap keluarga yang menerimanya.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) Fasa 2 Daerah Kuantan dan Jerantut di Tanjung Lumpur, semalam.
Pada majlis berkenaan, seramai 11 penerima menerima kunci rumah masing-masing membabitkan enam penerima dari Kuantan dan lima dari Jerantut.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan penerima supaya tidak menjual atau menyewakan kediaman berkenaan kepada pihak lain kerana rumah itu disediakan khusus untuk manfaat mereka dan keluarga.
Baginda mahu kediaman tersebut terus menjadi aset keluarga dan boleh diwarisi kepada anak cucu penerima pada masa hadapan.
Projek Ru’RASA yang melibatkan pembinaan 790 unit di seluruh negeri merupakan antara usaha menyediakan kediaman selesa kepada rakyat Pahang yang memerlukan, dengan pelaksanaannya diselaraskan melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP).
Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Dato’ Ahmad Islanizam A. Halim. –JELAIPOST