Politik

UMNO MAHU KEMBALI MENERAJUI PUTRAJAYA

Kongsi
UMNO MAHU KEMBALI MENERAJUI PUTRAJAYA

Foto: Farizul Awang

KUALA LUMPUR, 11 Sept — UMNO mahu kembali menerajui Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata sudah tiba masanya PRU16 diadakan, sambil menyifatkan perkembangan politik di Negeri Sembilan dan Johor sebagai antara petunjuk bahawa sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) berpotensi kembali mengukuh.

“Selepas melalui tempoh penuh pergolakan politik, UMNO mahu menjadikan PRU16 sebagai medan untuk mendapatkan semula mandat rakyat.”katanya demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Menerusi Agenda Malaysia Biru, Ahmad Zahid turut menggariskan hala tuju negara, termasuk aspirasi menjadikan Malaysia sebuah Negara Pencipta yang mampu mencipta, mereka bentuk dan memiliki teknologi, industri serta jenama sendiri.

PAU 2026 HIMPUNKAN 6,401 PERWAKILAN

PAU 2026 berlangsung selama empat hari, dari 9 hingga 12 September, di WTC Kuala Lumpur dengan menghimpunkan 6,401 perwakilan rasmi dari seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 2,922 ialah perwakilan UMNO, manakala selebihnya terdiri daripada perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Kehadiran keseluruhan sepanjang perhimpunan itu dijangka melebihi 50,000 orang. (BERNAMA)

Acara kemuncak PAU 2026 hari ini dimulakan dengan upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa, diikuti Majlis Perasmian dan Ucapan Dasar Presiden.

Perhimpunan itu kemudian diteruskan dengan sesi perbahasan sebelum ucapan penggulungan oleh barisan kepimpinan tertinggi UMNO pada 12 September. (BERNAMA)

PAU 2026 menjadi medan bagi UMNO menetapkan strategi menghadapi PRU16, selain memperincikan tawaran yang mahu dibawa kepada rakyat.-JELAIPOST


Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.