Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail
KUANTAN — Temasya Warisan Pahang 2026 yang berlangsung di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, menjadi platform memperkasa serta melestarikan seni, budaya dan tradisi negeri.
Program selama 10 hari, bermula 29 Ogos hingga 7 September itu, menghimpunkan pelbagai pengisian termasuk jualan dan demonstrasi kraf, bengkel kraf, demonstrasi masakan warisan dari setiap daerah, pertandingan seni dan fotografi serta persembahan kebudayaan.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan Sewang dan muzik tradisional Orang Asli, Gamelan Pahang, busker serta wacana berkaitan warisan dan tenun.
Dalam pada itu, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, meluangkan masa menyaksikan tayangan filem Gayong menerusi konsep wayang pacak bersama anak dan cucunya di Padang MBK 1, malam tadi.
Beliau mengajak orang ramai membawa keluarga bagi memeriahkan temasya berkenaan dan bersama-sama menyemarakkan warisan negeri.-JELAIPOST
