LIPIS: Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) terus memperkukuh pembangunan masyarakat Orang Asli di daerah ini menerusi pendekatan menyeluruh merangkumi pendidikan, ekonomi dan kebajikan.
Ketua Pegawai Eksekutif ORACO, YH Dato’ Muhammad Olian Abdullah berkata, usaha itu selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri Pahang untuk memastikan masyarakat Orang Asli tidak tercicir daripada arus pembangunan.
“Pembangunan masyarakat Orang Asli perlu dilaksanakan secara menyeluruh. Kita bukan sahaja mahu menjaga kebajikan mereka, tetapi turut menyediakan pendidikan berkualiti dan peluang ekonomi yang mampu meningkatkan taraf hidup dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Lanai, Kuala Lipis yang sedang dibangunkan sebagai Sekolah Digital dengan pembiayaan Kerajaan Negeri Pahang.
Menurutnya, pembangunan SK Lanai sebagai Sekolah Digital akan membuka ruang pembelajaran lebih luas kepada murid Orang Asli, khususnya dalam bidang teknologi dan inovasi.
Sempena lawatan itu, ORACO menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada SK Lanai bagi membantu meningkatkan penguasaan murid dalam bidang robotik.
“Kita mahu anak-anak Orang Asli diberi peluang yang sama untuk meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Pendedahan seperti robotik mampu membina kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah dan keyakinan mereka sejak di bangku sekolah,” katanya.
Program berkenaan turut disusuli Sesi Penerangan dan Penyelesaian Projek Sawit Fasa Satu dan Dua bersama para peserta bagi meneliti perkembangan projek serta menyelesaikan isu berbangkit.
Muhammad Olian berkata, ORACO mahu memastikan projek ekonomi yang dilaksanakan benar-benar memberi pulangan dan manfaat berterusan kepada masyarakat Orang Asli.
“Kita akan terus mendengar pandangan peserta, meneliti setiap permasalahan dan mencari penyelesaian terbaik supaya projek ini dapat berjalan lancar serta menjadi sumber pendapatan yang mampan,” katanya.
Dalam aspek kebajikan, ORACO turut menyerahkan bakul makanan kepada 397 Ketua Isi Rumah (KIR) masyarakat Orang Asli pada satu majlis di Dewan Serbaguna PROSDET Pantos, DUN Jelai.
Sumbangan itu melibatkan penduduk dari enam perkampungan, iaitu Kampung Pantos, Kampung Nyentil, Kampung Lanai Baru, Kampung Harong, Kampung Perangkap dan Kampung Bantal.
“ORACO akan terus turun padang dan mendekati masyarakat Orang Asli bagi memahami keperluan mereka.
“Matlamat kita jelas, iaitu memastikan mereka menikmati pendidikan lebih berkualiti, peluang ekonomi lebih baik dan kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya.:JELAIPOST