Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail
KUANTAN: Prestasi ekonomi Pahang terus memperlihatkan perkembangan positif apabila nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri meningkat kepada RM71 bilion bagi tahun 2025.
Menurut Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, dalam tempoh sama, kutipan hasil negeri sehingga 26 Ogos lalu telah mencecah RM921.72 juta, bersamaan kira-kira 72 peratus daripada sasaran keseluruhan RM1.279 bilion yang ditetapkan bagi tahun ini.
Prestasi itu turut diperkukuh dengan pelaburan komited berjumlah RM11.47 bilion yang dijangka terus merancakkan aktiviti ekonomi, merangsang pembangunan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
Pencapaian tersebut meneruskan momentum positif Pahang yang sebelum ini berjaya merekodkan kutipan hasil melebihi RM1 bilion bagi beberapa tahun berturut-turut, katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Keupayaan kerajaan negeri meningkatkan hasil dan memperkukuh kedudukan kewangan membolehkan lebih banyak program pembangunan, kebajikan serta bantuan rakyat dapat terus dilaksanakan.
Perkembangan itu turut menunjukkan asas ekonomi negeri berada pada landasan kukuh dalam usaha mencapai sasaran nilai ekonomi Pahang sebanyak RM100 bilion menjelang 2030.– JELAIPOST