KUANTAN, 27 Ogos — Kerajaan Negeri Pahang berjaya menoktahkan statistik miskin tegar apabila kesemua 2,913 Ketua Isi Rumah (KIR) yang direkodkan pada 15 Januari 2026 dikeluarkan daripada status berkenaan.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri turut mengurangkan jumlah KIR miskin sebanyak 30 peratus, melibatkan 4,263 daripada 14,210 KIR yang direkodkan pada 5 Jun lalu.
Beliau berkata, pencapaian itu bukan sekadar angka, sebaliknya melibatkan keluarga yang sedang berusaha membesarkan anak-anak, meningkatkan taraf hidup dan membina kehidupan lebih sejahtera.
“Keberhasilan ini bukan noktah, tetapi permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar. Kita mesti memastikan mereka yang telah keluar daripada kemiskinan tidak kembali semula, di samping terus membantu mereka yang masih memerlukan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15, hari ini.
Wan Rosdy berkata, matlamat kerajaan bukan hanya menyalurkan bantuan, tetapi memastikan rakyat memperoleh pekerjaan, pendapatan stabil serta mampu berdikari.
Menurutnya, data dalam Sistem eKasih bersifat dinamik kerana perubahan pekerjaan, pendapatan, saiz keluarga dan keadaan sosioekonomi boleh mengubah status sesebuah isi rumah dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi berkaitan, pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat bagi memastikan keluarga yang memerlukan tidak tercicir.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kesejahteraan rakyat perlu disokong melalui ekonomi yang kukuh, peluang pekerjaan, keusahawanan, pelaburan serta pengukuhan pendidikan dan TVET.
Wan Rosdy turut berkata kestabilan politik, pentadbiran yang konsisten, perpaduan rakyat dan tadbir urus baik penting untuk menjayakan agenda pembangunan negeri.
Beliau berkata Pahang muncul sebagai negeri terbaik dalam Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025, yang disifatkannya sebagai cerminan rakyat negeri itu yang hidup dalam kepelbagaian, saling menghormati dan membantu antara satu sama lain.-JELAIPOST