Berita

Pahang Kekal Belanjawan Surplus Sejak 2019, Hutang Negeri Turun Kepada RM825 Juta

Kongsi
Menteri Besar Pahang pada sidang Dewan Negeri Pahang

KUANTAN, 27 November – Kerajaan Negeri Pahang terus mempertahankan dasar pengurusan kewangan berhemah dengan mengekalkan Belanjawan Surplus sejak 2019 hingga 2027.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hasil negeri melebihi RM1 bilion selama lima tahun berturut-turut sejak 2022, manakala hutang negeri berjaya dikurangkan daripada RM3.3 bilion pada 2018 kepada RM825 juta.

“Kita tidak mahu berbelanja melebihi kemampuan sehingga akhirnya membebankan negeri pada masa hadapan.

“Namun, surplus bukan bermakna kita tidak mahu berbelanja. Pembangunan tetap diteruskan dan kebajikan rakyat tetap dijaga,” menurut teks ucapan penggulungan beliau pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15, hari ini.

Antara faktor pengurangan hutang negeri ialah hapus kira pinjaman Bekalan Air Luar Bandar (BALB) sebanyak RM1.003 bilion serta novasi pinjaman projek bekalan air kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sebanyak RM1.091 bilion.

Turut terlibat ialah hapus kira pinjaman bagi SUKMA sebanyak RM168.8 juta dan pinjaman bagi menangani kedudukan kewangan negeri sebanyak RM54.874 juta.

“Prinsip saya mudah, berbelanja jangan sampai boros, berjimat jangan sampai kedekut.”

Beliau berkata, pengurusan kewangan tersebut penting bagi memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah negeri yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh.

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.