Politik

Wan Rosdy Ucap Tahniah, Ab Rauf Kembali Terajui Melaka Bagi Penggal Kedua

Kongsi
Ab Rauf Yusoh menandatangani dokumen sambil disaksikan tetamu di istiadat angkat sumpah Ketua Menteri Melaka.

MELAKA, 15 November – Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Barisan Nasional Negeri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh atas pelantikan semula sebagai Ketua Menteri Melaka bagi penggal kedua.

Pelantikan itu menyusuli kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 semalam.

BN memenangi 21 kerusi dan PN tiga kerusi, memberikan kedua-duanya majoriti lebih dua pertiga, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi baki empat kerusi.

“Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kepimpinan, komitmen dan usaha beliau dalam menerajui pembangunan serta kemajuan Negeri Melaka.

“Semoga beliau terus diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan kesihatan yang baik untuk memimpin Melaka ke arah kemakmuran, kestabilan dan kesejahteraan yang lebih cemerlang,” kata Wan Rosdy dalam satu kenyataan.

Ab Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, di Dewan Seri Utama, Ayer Keroh, tengah hari ini. Beliau mempertahankan kerusi Tanjung Bidara dengan majoriti 8,615 undi. 

Di Asahan, antara DUN jagaan BN Pahang, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 9,158 undi, lebih tiga kali ganda berbanding 2,993 undi pada PRN 2021. BN turut memenangi Durian Tunggal menerusi Datuk Dr. Mustafa Musa dengan majoriti 4,647 undi, manakala S. Nadarajah menang di Gadek dengan majoriti 3,514 undi.

Wan Rosdy, yang juga Pengerusi BN Pahang, turut merakamkan penghargaan kepada jentera negeri itu yang membantu kempen di Melaka.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.