Berita

Al-Azhar Bakal Buka Pusat Bahasa Arab di UNIQSAAS

Kongsi
Al-Azhar Bakal Buka Pusat Bahasa Arab di UNIQSAAS

PAHANG – Universiti Al-Azhar, Mesir bakal membuka sebuah pusat pengajian bahasa Arab di Pahang menerusi kerjasama dengan Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS).

Penubuhan pusat itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar dan masyarakat di Malaysia mempelajari bahasa Arab secara lebih tersusun, selain memperkukuh hubungan pendidikan Islam antara Pahang dengan Al-Azhar.

Kerjasama berkenaan dimeterai menerusi perjanjian yang ditandatangani Penasihat Sheikh Al-Azhar bagi Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa, Profesor Dr. Nahla Al-Saidi bersama Naib Canselor UNIQSAAS, Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Profesor Dr. Nahla berkata, pembukaan pusat tersebut merupakan satu lagi langkah Al-Azhar memperluas pendidikan bahasa Arab di rantau Asia Tenggara, khususnya kepada mereka yang bukan penutur asal bahasa berkenaan.

“Penubuhan pusat ini akan mengukuhkan kerjasama pendidikan antara Al-Azhar dengan institusi pengajian tinggi di Malaysia, selain memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat mempelajari bahasa Arab.

“Usaha ini juga selaras dengan hasrat Sheikh Al-Azhar, Profesor Dr. Ahmed Al-Tayeb untuk memperluas pendidikan Islam yang menekankan kesederhanaan, keamanan dan keharmonian,” katanya.

Menurut beliau, pusat tersebut akan menawarkan program pembelajaran bahasa Arab mengikut tahap penguasaan dan keperluan pelajar.

Katanya, penguasaan bahasa Arab juga penting bagi membantu pelajar memahami Al-Quran, hadis serta mendalami ilmu pengajian Islam.

Kerjasama ini turut membuka peluang kepada UNIQSAAS untuk memperkukuh hubungan akademik dengan Al-Azhar, sebuah institusi pendidikan Islam terkemuka di dunia.

Majlis menandatangani perjanjian itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Ab Rahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim; Ahli Dewan Negeri Pahang, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Irshadi Abdullah serta Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Pahang, Dato’ Yunaan Abd Samad.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik) UNIQSAAS, Profesor Madya Dr. Mohd Fadzli Ismail bersama pegawai kanan kerajaan negeri dan universiti.

Sebelum ini, Al-Azhar telah membuka beberapa pusat pengajian bahasa Arab di luar Mesir termasuk di Gambia, Chad, Sierra Leone dan Indonesia.

Pembukaan pusat baharu di Pahang dijangka memberi manfaat kepada pelajar, khususnya mereka yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang bahasa Arab dan pengajian Islam, selain memperluas kerjasama pendidikan antara Malaysia dengan Mesir.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.