Berita

370 Anak Pahang Di Mesir Terima Sumbangan USD100 Seorang

Kongsi
370 Anak Pahang Di Mesir Terima Sumbangan USD100 Seorang

KAHERAH – Seramai 370 anak Pahang yang sedang melanjutkan pengajian di Mesir menerima sumbangan kewangan sebanyak USD100 seorang daripada Kerajaan Negeri Pahang sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa di luar negara.

Sumbangan yang melibatkan keseluruhan USD37,000 itu disampaikan dalam majlis ramah mesra bersama pelajar Pahang di Kaherah, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sumbangan berkenaan merupakan inisiatif YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar sepanjang pengajian mereka.

”Sumbangan yang melibatkan keseluruhan USD37,000,

“Setiap pelajar menerima sumbangan kewangan sebanyak USD100 seorang,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Selain bantuan kepada mahasiswa, Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan RM5,000 setiap satu kepada dua persatuan utama pelajar Pahang di Mesir, iaitu Miftah Pahang dan BKMIP Mesir, bagi menyokong aktiviti serta kebajikan pelajar.

Syed Ibrahim berkata, pertemuan bersama mahasiswa itu turut menjadi platform berkongsi perkembangan semasa Pahang, khususnya usaha Kerajaan Negeri memperkukuh sektor pendidikan, ekonomi, agama Islam, kebajikan dan pembangunan infrastruktur.

”Pertemuan bersama mahasiswa itu turut menjadi platform berkongsi perkembangan semasa Pahang, khususnya usaha Kerajaan Negeri memperkukuh sektor pendidikan, ekonomi, agama Islam, kebajikan dan pembangunan infrastruktur.

“Saya juga sempat kongsikan pengalaman kecil saya ketika menuntut di Al Azhar Mesir,” katanya.

Beliau turut menyampaikan titah salam Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta salam daripada Menteri Besar Pahang kepada mahasiswa yang hadir.

Majlis berkenaan turut disertai Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Zakaria dan delegasi Kerajaan Negeri, selain wakil Kedutaan Besar Malaysia di Mesir serta tokoh ilmuwan Universiti Al-Azhar.

Dalam perkembangan berkaitan, delegasi Kerajaan Negeri turut mengadakan urusan susulan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Al-Azhar dan Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UniQSAAS) bagi memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi Islam.

Syed Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Pahang, Pejabat Kewangan Negeri, Jabatan Agama Islam Pahang serta Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang atas kerjasama dalam menjayakan inisiatif berkenaan.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.