KUANTAN: Kejayaan program pembangunan usahawan perlu diukur melalui peningkatan prestasi dan perkembangan perniagaan, bukannya sekadar jumlah program yang dianjurkan.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap bantuan kerajaan perlu menepati keperluan sebenar usahawan dan memberikan manfaat yang jelas.
“Kita tidak mahu bantuan disediakan tanpa mengambil kira keperluan sebenar penerima. Sebaliknya, setiap inisiatif mesti memberikan manfaat yang jelas kepada usahawan.
“Ukuran kejayaan bukan pada banyaknya program yang dilaksanakan, tetapi sejauh mana program itu membantu usahawan meningkatkan prestasi dan mengembangkan perniagaan,” katanya sempena Program Turun Padang Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPUPK) dan Dialog Bersama Usahawan Bumiputera Zon Timur di Kompleks Belia dan Sukan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Dato’ Amizar Abu Adam; serta Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Encik Rizal bin Dato’ Nainy.

Wan Rosdy yang juga Penasihat Khas MPUPK berkata, pendekatan turun padang penting untuk memahami masalah usahawan, termasuk aliran tunai, kos bahan mentah, pembiayaan dan akses pasaran.
Menurutnya, dasar yang baik tidak boleh dibentuk berdasarkan angka serta laporan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pengalaman sebenar mereka yang menguruskan perniagaan.
Sehubungan itu, beliau mahu masalah penyelarasan antara agensi diperbaiki, manakala pendekatan program yang tidak mencapai kumpulan sasaran dinilai semula.
Dalam ucapan sama, beliau memaklumkan Pahang merekodkan 60,144 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pada 2025, jumlah tertinggi di Zon Timur.
Kelantan pula mencatatkan 51,123 usahawan PMKS, manakala Terengganu sebanyak 42,169.
Katanya, kekuatan itu perlu dimanfaatkan untuk membantu perniagaan berkembang, meningkatkan nilai produk tempatan dan menembusi pasaran lebih luas.
Beliau turut menggesa usahawan memanfaatkan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), bagi meningkatkan kecekapan pemasaran, khidmat pelanggan dan pengurusan operasi.
Menyentuh pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Wan Rosdy berkata, projek itu berpotensi membuka peluang dalam sektor makanan dan minuman, penginapan, pengangkutan, pembekalan serta perkhidmatan sokongan.
Beliau mahu usahawan tempatan membuat persediaan awal supaya dapat menikmati manfaat pembangunan itu dan menjadi penggerak pertumbuhan ekonomi Zon Timur.-JELAIPOST
