Politik

PRN Melaka: Wan Rosdy Seru Jentera BN Perkukuh Kesatuan

Kongsi
Wan Rosdy bersama jentera Barisan Nasional pada majlis persiapan PRN Melaka.

AYER KEROH: Seluruh jentera Barisan Nasional (BN) diseru memperkukuh kesatuan dan meningkatkan komitmen bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi Barisan Nasional Negeri Pahang Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di Facebook berkata, calon yang dipertaruhkan juga diharap dapat melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya.

“Semoga seluruh jentera BN terus diperkukuh dengan semangat kesatuan, kesungguhan dan komitmen yang tinggi,

“Semua calon yang dipertaruhkan dapat melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya serta Pengenalan Calon BN bagi PRN Melaka di Ayer Keroh, malam tadi.

Menurut Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO, pengumuman 21 calon, termasuk lapan muka baharu, membawa semangat, idea dan pendekatan segar dalam usaha memperkukuh perjuangan parti serta mendekati rakyat.

“Mudah-mudahan Barisan Nasional terus mendapat kepercayaan dan diberikan mandat oleh rakyat Melaka untuk meneruskan khidmat, membawa pembangunan serta menjamin kesejahteraan negeri,” katanya.

Terdahulu, BN mengumumkan barisan calon untuk bertanding di 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada majlis di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.

Senarai calon itu diumumkan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, manakala Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir menyempurnakan majlis berkenaan.

Antara pemimpin yang dikekalkan ialah Ab Rauf di DUN Tanjung Bidara, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh di Merlimau dan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem di Duyong.

BN turut mengetengahkan lapan muka baharu, antaranya Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid di Lendu, Datuk Dr Mustafa Musa di Durian Tunggal dan Siti Aisyah Mahmood di Pengkalan Batu.-JELAIPOST

Satu ulasan

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.