Berita

Amalan Menyeleweng Tidak Lagi Diamalkan Di Kampung Ubai – Mufti Pahang

Kongsi
Mufti Pahang bersama barisan kepimpinan masyarakat Kampung Ubai dalam kunjungan hormat.

PEKAN: Masyarakat Kampung Ubai kini tidak lagi mengamalkan amalan lama yang sebelum ini difatwakan menyeleweng, menurut Jabatan Mufti Negeri Pahang.

Mufti Pahang, Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim menzahirkan rasa syukur dan berpuas hati selepas menerima pengesahan itu dalam pertemuan bersama barisan kepimpinan masyarakat kampung berkenaan di pejabat beliau pada 23 Oktober.

“Dalam pertemuan tersebut, Sahibus Samahah Mufti berpuas hati dan bersyukur apabila disahkan bahawa masyarakat Kampung Ubai kini sudah tidak lagi beramal dengan amalan-amalan yang telah difatwakan menyeleweng sebelum ini kerana ia merupakan amalan lama yang tidak lagi diamalkan,” menurut kenyataan jabatan itu.

Kunjungan hormat tersebut diketuai Ketua Kampung Ubai, Alias Ibrahim bersama Pengerusi Masjid Kampung Ubai, Haji Omar Ahmad.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Dr. Asmadi Abdul Rahman.

Terdahulu, isu berkenaan mendapat perhatian selepas beberapa amalan yang dikaitkan dengan sebilangan penduduk Kampung Ubai dan kawasan sekitarnya diputuskan bercanggah dengan ajaran Islam dari aspek akidah, syariah serta adab dan akhlak.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang pada 27 dan 28 April 2026 selepas penelitian serta kajian oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Antara amalan yang disenaraikan ialah kepercayaan tertentu ketika menyembelih ayam sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan, doa menyampaikan roh haiwan kepada si mati serta mencagar cincin bagi menolak bala.

Keputusan itu turut menyentuh amalan menyusup di bawah keranda dan mencampakkan wang syiling dengan niat tertentu, kutipan “zakat kenderaan” serta paksaan mengadakan kenduri arwah mengikut bilangan hari tertentu sehingga membebankan keluarga si mati.

Dalam pertemuan terbaharu itu, Mufti Pahang mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menjauhi pegangan dan amalan yang bercanggah dengan tuntutan agama.

“Sahibus Samahah menasihatkan supaya semua pihak di negeri Pahang agar sentiasa mengelak daripada berpegang kepada amalan yang bertentangan dengan syariat Islam demi memelihara kesucian aqidah, syariat dan akhlak Islam,” menurut kenyataan jabatan itu.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.