KUALA LUMPUR: Tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi perjalanan Gombak–KotaSAS, Pahang ditetapkan bermula RM60 untuk perkhidmatan Transit Kelas Ekonomi, menjelang operasi komersial yang dijadualkan pertengahan Disember ini.
Bagi perkhidmatan Ekspres untuk laluan sama, tambang pula bermula RM68.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam kenyataan memaklumkan kerajaan meluluskan cadangan struktur tambang ECRL pada 16 Oktober lalu berdasarkan mekanisme penetapan harga dinamik.
Penetapan itu memberikan gambaran awal kos perjalanan bagi pengguna yang mahu menggunakan perkhidmatan rel berkenaan antara Gombak dengan KotaSAS di Kuantan.
Kadar RM60 bagi Transit dan RM68 bagi Ekspres merupakan harga permulaan untuk laluan berkenaan, selaras dengan struktur tambang dinamik yang diluluskan.
Sementara itu, tambang Transit Kelas Ekonomi bagi perjalanan Gombak–Kuala Terengganu bermula RM95, manakala perkhidmatan Ekspres bermula RM110.
Bagi laluan Gombak–Kota Bharu sepanjang 523 kilometer, tambang Transit Kelas Ekonomi bermula RM125 dan Ekspres bermula RM147.
Operasi komersial ECRL yang dijadualkan bermula pertengahan Disember ini bakal menyediakan pilihan pengangkutan baharu antara Pantai Timur dengan Lembah Klang.-JELAIPOST
