Viral

Kes Ritual Agama Lain: Aliff Daniel, Ibu Ditahan

Kongsi
Kes Ritual Agama Lain: Aliff Daniel, Ibu Ditahan

SHAH ALAM: Lelaki yang dikenali sebagai Aliff Daniel, 21, ditahan bersama ibunya berusia 52 tahun susulan kontroversi video tular yang didakwa memaparkan penglibatan dalam ritual agama Hindu.

Kedua-duanya ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kuala Lumpur kira-kira tengah hari Selasa bagi membantu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penahanan itu dibuat menerusi waran tangkap bersaling yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Menurutnya, kedua-dua individu kini disiasat mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Berdasarkan risikan selepas kes ini tular, JAIS dijangka memanggil sekurang-kurangnya 14 individu lain bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes berkenaan mencetuskan perhatian ramai selepas beberapa rakaman video tersebar di media sosial yang mendakwa seorang individu beragama Islam menyertai ritual keagamaan bukan Islam.

Sebelum ini, JAIS memaklumkan pihaknya masih meneliti kesahihan rakaman terbabit, termasuk dakwaan kejadian berlaku ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves, Selangor.

Mohd Shahzihan menegaskan, JAIS memandang serius perkara berkenaan dan setiap tindakan akan dilaksanakan berlandaskan bidang kuasa, peruntukan undang-undang serta fakta siasatan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.