KUANTAN: Semua sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan, Pekan dan Rompin diarahkan tutup esok, 14 Oktober 2026, susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa negeri ketika ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi hantaran Facebook beliau memaklumkan, penutupan itu turut melibatkan semua sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Selain Pahang, arahan sama turut melibatkan sekolah di bawah PPD Hulu Langat dan Sepang di Selangor, PPD Tawau di Sabah serta PPD Serian, Sri Aman dan Lubok Antu di Sarawak.
Menurut Fadhlina, sepanjang tempoh penutupan berkenaan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas.
Guru serta Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) pula dibenarkan Bekerja Dari Rumah (BDR).
Bagaimanapun, sekolah di negeri dan daerah lain yang tidak terlibat dengan arahan penutupan tersebut akan terus beroperasi seperti biasa.
Keputusan itu dibuat susulan situasi jerebu yang semakin membimbangkan, khususnya membabitkan kawasan yang terjejas akibat kemerosotan kualiti udara.
Penutupan sekolah ini merupakan langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan murid dan warga sekolah kepada pencemaran udara.-JELAIPOST