Berita

MB Bentang Belanjawan Pahang 2027 Pada 20 November

Kongsi
MB Bentang Belanjawan Pahang 2027 Pada 20 November

Foto: Gambar Fail

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail akan membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada 20 November ini, selepas belanjawan tahun sebelumnya menyediakan peruntukan keseluruhan kira-kira RM1.72 bilion.

Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, pembentangan dijadualkan jam 9 pagi sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15.

Menurutnya, tarikh persidangan berkenaan telah mendapat perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.

Sesi perbahasan akan berlangsung pada 23 hingga 25 November, disusuli penggulungan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pada 26 November dan Menteri Besar pada 27 November.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat persiapan persidangan berkenaan di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), KotaSAS, hari ini, lapor Pahang Media.

Mohd Sharkar berkata, sebanyak 66 soalan dijadual dijawab sepanjang persidangan, dengan pemilihannya mengambil kira kepentingan isu serta keperluan memberikan penjelasan menyeluruh kepada rakyat.

Persidangan turut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial bagi membolehkan rakyat mengikuti perbahasan dan persoalan yang dibangkitkan wakil rakyat masing-masing.

Sebagai rekod, Belanjawan Pahang 2026 yang dibentangkan pada 5 Disember tahun lalu menyediakan kira-kira RM1.72 bilion, merangkumi RM1.274 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM446.26 juta untuk pembangunan negeri.

Peruntukan pembangunan itu meningkat 11.67 peratus berbanding tahun sebelumnya bagi menyokong kelancaran pelaksanaan projek.

Belanjawan tersebut turut menyasarkan kutipan hasil RM1.279 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan RM5 juta berbanding perbelanjaan mengurus.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.