LIPIS: Hasrat Kerajaan Negeri Pahang untuk mengangkat Lipis sebagai destinasi warisan geologi bertaraf antarabangsa terus diperkukuh dengan pembukaan Galeri Lipis Geopark kepada orang ramai sejak 5 Oktober lalu.
Terletak di Bandar Lipis, galeri berkenaan dibangunkan melalui Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) sebagai pusat pendidikan, penyelidikan dan penyebaran maklumat mengenai keunikan geologi, biodiversiti serta warisan budaya daerah itu.

Menurut Pegawai Operasi Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP), Encik Bunyamin Abdul Manap menjelaskan bahawa pembangunan galeri tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkenalkan kekayaan warisan Lipis kepada masyarakat, selain menyokong aspirasi mendapatkan pengiktirafan UNESCO Global Geopark.
Jelasnya, usaha berkenaan mempunyai sejarah tersendiri apabila Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail pada Jun 2022 mengumumkan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Lipis sebagai UNESCO Global Geopark.
Ketika itu, Wan Rosdy menegaskan bahawa pembangunan geopark bukan sekadar usaha pemuliharaan khazanah alam, sebaliknya berpotensi merancakkan kegiatan pelancongan, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat.

Langkah awal dilaksanakan melalui kerjasama PTNP, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta agensi berkaitan bagi mendapatkan pengiktirafan Geopark Kebangsaan sebelum melangkah ke peringkat antarabangsa.
Usaha tersebut membuahkan hasil apabila Lipis diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pada 9 November 2023, sekali gus muncul sebagai geopark kebangsaan dengan keluasan terbesar di Malaysia.
Pengiktirafan itu kemudiannya dimasyhurkan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Januari 2024 di Sungai Relau, Merapoh.
Meliputi kawasan seluas 5,408 kilometer persegi, Lipis Geopark mempunyai 52 tapak warisan merangkumi 28 tapak geologi, 18 tapak budaya dan enam tapak biologi.
Antara khazanah pentingnya ialah formasi batuan purba berusia sekitar 270 hingga 420 juta tahun di Pos Betau yang menjadi bukti sejarah pembentukan Semenanjung Malaysia.
Selain keunikan geologi, Lipis turut memiliki nilai sejarah sebagai bekas ibu negeri Pahang, peninggalan seni bina kolonial serta warisan masyarakat tempatan termasuk komuniti Orang Asli.
Pembukaan Galeri Lipis Geopark memberi satu lagi nilai tambah kepada pembangunan geopelancongan daerah berkenaan, khususnya dalam memperluas pengetahuan masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan warisan alam.
Inisiatif itu juga selari dengan Blueprint Pahang Destinasi Warisan Dunia 2024–2028 yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan khazanah negeri, pembangunan pelancongan mampan dan penglibatan komuniti setempat.
Daripada aspirasi yang digerakkan pada 2022, pengiktirafan kebangsaan pada 2023 dan kini pembukaan galeri, Lipis terus memperkukuh asas untuk melangkah ke peringkat UNESCO.
Bagi penduduk daerah itu, kejayaan sebenar bukan hanya terletak pada pengiktirafan antarabangsa, tetapi sejauh mana khazanah warisan yang dimiliki mampu menjana manfaat ekonomi tanpa mengorbankan kelestarian alam.-JELAIPOST