KEMAMAN – Bagi kebanyakan graduan, hari konvokesyen adalah saat meraikan kejayaan. Namun bagi Muhammad Afiq Mohd Hairul Fahmy, 23, yang sedang bertarung dengan kanser otak tahap empat, peluang menggenggam segulung ijazah menjadi sebuah perjuangan yang cukup menyentuh hati.
Lebih meruntun perasaan, kedua-dua ibu bapanya sanggup menempuh perjalanan selama dua hari dengan ambulans, semata-mata mahu menunaikan satu permintaan anak mereka, iaitu hadir sendiri ke majlis konvokesyen.
Afiq yang memerlukan bantuan oksigen dibawa dari Arau, Perlis ke Banting, Selangor sebelum meneruskan perjalanan ke Kemaman, Terengganu bagi menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Universiti TATI (UC TATI) ke-26 pada 10 Oktober lalu.
Di sebalik kejayaan itu, tersimpan kisah seorang anak yang enggan menyerah kepada penyakit dan kasih ibu bapa yang tidak tergamak menghampakan impiannya.
Bapanya, Kepten Ts Mohd Hairul Fahmy Yob, seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), mengakui perjalanan tersebut bukan mudah, namun hasrat anaknya terlalu besar untuk diketepikan.
Menurutnya, keluarga mereka malah pernah mempertimbangkan penerbangan ihsan bagi membawa Afiq ke majlis berkenaan, tetapi keadaan kesihatan anaknya tidak mengizinkan atas nasihat doktor.
“Demi Afiq, kami sanggup mengusahakan segala-galanya,” katanya.

Akhirnya, dengan bantuan ambulans dari 96 Hospital Angkatan Tentera di Lumut, Perak, perjalanan yang penuh cabaran itu berjaya disempurnakan.
Afiq yang disahkan menghidap kanser otak ketika berada pada tahun akhir pengajian berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Perniagaan (Kepujian).
Beliau turut menerima Anugerah Khas Aegrotat dalam keadaan berkerusi roda, ditemani kedua-dua insan yang tidak pernah berhenti memperjuangkan kebahagiaannya.
Barangkali bagi orang lain, ia hanyalah satu lagi majlis konvokesyen. Tetapi bagi keluarga kecil ini, detik tersebut membawa makna jauh lebih besar daripada segulung ijazah.
Seorang anak berjaya menunaikan impiannya meskipun sedang diuji penyakit berat, sementara sepasang ibu bapa berjaya menghadiahkan satu kenangan yang tidak ternilai.
Kerana pada akhirnya, kasih seorang ayah dan ibu bukan sekadar melihat anak berjaya, tetapi tetap berada di sisinya ketika seluruh kekuatan sedang diuji.
Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan buat Afiq dan kekuatan berpanjangan kepada kedua-dua ibu bapanya.
Kredit artikel: Mingguanwanita.my