Berita

‘Saya Pun Pernah Jadi Penjaja’ – Amizar

Kongsi
‘Saya Pun Pernah Jadi Penjaja’ – Amizar

BENTONG: Pernah mencari rezeki sebagai penjaja, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Dato’ Amizar Abu Adam menyifatkan inisiatif pemberian lesen percuma kepada 700 penjaja B40 di Bentong sebagai usaha bermakna membantu golongan peniaga kecil.

Menurutnya, inisiatif Kerajaan Negeri Pahang menyediakan lesen percuma kepada 700 penjaja B40 di Bentong dengan peruntukan hampir RM150,000 merupakan langkah membantu golongan berkenaan mengurangkan beban perniagaan.

“Dulu saya pun pernah menjadi penjaja seperti mereka. Jiwa berniaga memang sentiasa ada dalam diri saya,”

“Bila penjaja kecil terus berniaga, ekonomi setempat pun bergerak. Sokong penjaja kecil, kuatkan ekonomi rakyat!”, katanya menerusi Facebook, pada Selasa.

Jelasnya, Inisiatif lesen percuma itu merupakan sebahagian daripada Inisiatif Makmur Pahang (IMP) 2026 yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Pahang dengan peruntukan keseluruhan RM3 juta khusus bagi membantu penjaja B40 sedia ada.

Pada Ogos lalu, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail turut mengumumkan seramai 5,906 penjaja B40 di seluruh negeri menerima manfaat bantuan berkaitan lesen perniagaan bernilai RM200 seorang.

Langkah tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan kos operasi, malah membolehkan penjaja menggunakan sebahagian pendapatan untuk modal pusingan, pembelian bahan mentah dan keperluan keluarga.

Amizar turut merakamkan penghargaan kepada Wan Rosdy atas komitmen berterusan kerajaan negeri membantu golongan berpendapatan rendah, selain semua pihak yang menjayakan program berkenaan.

Bagi penjaja kecil, penjimatan bayaran lesen mungkin kelihatan kecil, namun cukup bermakna dalam memastikan perniagaan mereka dapat diteruskan, terutama ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.